SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Alor Peroi adalah sebuah sekolah yang terletak di antara sempadan negeri Terengganu dan Kelantan iaitu kira-kira 4 km daripada pekan Kuala Besut. Ianya diasaskan pada tahun 1951 atas desakan ketua kampung, Allahyarham Engku Ngah dan penduduk Kampung Alor Peroi demi untuk memberi pendidikan kepada anak-anak buah mereka.
Bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak mereka, penduduk kampung telah bergotong-royong membina sebuah bangunan bangsal kayu berukuran 60x20. Bilangan murid pada peringkat pertama penubuhan sekolah ini adalah seramai 25 orang. Pada awal penubuhan sekolah ini hanya seorang seorang guru sahaja yang mengajar di sini. Allahyarham Cikgu Cik Abas bin Cik Mahmud adalah guru pengasas kepada bermulanya era pendidikan formal di sekolah ini.
Pada tahun 1956, bangsal baru didirikan sebagai menggantikan bangunan lama yang runtuh akibat di landa ribut. Dengan adanya bangunan baru ini bilangan guru yang mengajar bertambah kepada 3 orang. Guru-guru berkenaan adalah Allahyarham Cikgu Cik Abas bin Cik Mahmud merangkap sebagai Guru Besar, Allahyarham Cikgu Othman dan Allahyarham Cikgu Omar. Manakala bilangan murid pula telah meningkat kepada 56 orang.
Selepas Negeri Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bangsal baru didirikan dengan ukuran 120x 20 bagi menggantikan bangsal lama yang sekali lagi dilanda ribut. Bangunan kayu ini mengandungi 5 buah bilik darjah yang dapat menampung seramai 120 orang murid.
Pada tahun 1964, bangunan kayu telah digantikan dengan bangunan konkrit yang mengandungi 6 buah bilik darjah, sebuah bilik Guru Besar dan sebuah bilik guru. Bangunan baru ini juga mengandungi sebuah kantin, tandas dan 2 unit rumah guru. Bangunan ini telah dirasmikan pada tanggal 26 September1965 oleh Y.B. En. Khir bin Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Bangunan ini dapat menampung seramai 130 orang murid dengan tenaga pengajar seramai 6 orang. Guru Besar pada ketika itu ialah Y.B Engku Awang bin Engku Ngah. Bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah, pihak PIBG telah bergotong-royong bagi mendirikan sebuah bangunan yang mengandungi 2 bilik darjah pada tahun 1980.
Manakala pada tahun 1990, bangunan konkrit 2 tingkat telah didirikan yang dapat menampung bilangan murid seramai 380. Sebanyak 2 bilik darjah sebuah makmal sains telah didirikan pada tahun
1992.
Pada tahun 1999, Sekolah Kebangsaan Alor Peroi mempunyai sebanyak 19 buah bilik termasuk sebuah bilik pra Sekolah, sebuah Kelas Pemulihan dan mempunyai kemudahan Pusat Sumber dan juga Makmal Sains. Bilangan pelajar sekolah ini telah meningkat kepada 608 orang dengan tenaga pengajarnya seramai 31 orang dan 6 orang kakitangan.
Pada tahun 2007, sebuah Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) diwujudkan dengan murid seramai 7 orang dan seorang guru. Pada tahun 2009, kelas tersebut telah berkembang menjadi 2 kelas dan murid seramai 27 orang, 3 orang guru dan 2 orang Pembantu Pengurusan Murid.
Kini pada tahun 2010, warga SK Alor Peroi telah bertambah dengan bilangan murid seramai 627 orang termasuk Pra Sekolah seramai 25 orang dan Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) seramai 27 orang. Guru-guru pula adalah seramai 45 orang dan 5 orang kakitangan sokongan.
Meskipun begitu Sekolah Kebangsaan Alor Peroi masih memerlukan kemudahan seperti Bilik Kemahiran Hidup, Bilik Tayangan dan sebagainya yang berupaya memberi keselesaan dan kemudahan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini.
PENGASAS SEKOLAH
Allahyarham Che Abas bin Che Mahmud ialah pengasas penubuhan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi. Allahyarham Che Abas bin Che Mahmud dilahirkan di Pekan Kuala Besut pada 26 Mei 1928. Beliau pernah mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kuala Besut. Beliau merupakan anak sulung daripada sembilan orang adik beradik. Beliau berkahwin dengan Wan Maziah bt. Wan Nawang pada tahun 1957. Allahyarham dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. Allahyarham telah memilih pekerjaan sebagai guru pada tahun 50-an.
Allahyarham bersama penduduk kampung bergotong –royong membina bangsal kayu untuk dijadikan bangunan sekolah. Allahyarham bertugas di sekolah Kebangsaan Alor Peroi pada tahun 1951 sebagai pengasas era pendidikan formal di sekolah ini.
Pada tahun 1956, bangsal baru telah didirikan sebagai menggantikan bangunan lama yang runtuh akibat dilanda ribut. Pihak kerajaan telah memberi sumbangan untuk membina bangunan baru ini. Dengan adanya bangunan baru bilangan guru yang mengajar telah bertambah kepada 3 orang. Guru-guru berkenaan adalah Allahyarham Che Abas bin Che Mahmud merangkap Guru Besar , Allahyarham Cikgu Othman dan Allahyarham Cikgu Omar, manakala bilangan murid telah meningkat kepada 56 orang.
Pada tahun 1957, beliau telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan La, Hulu Besut, Terengganu. Selepas itu beliau berhenti daripada menjadi guru pada tahun 60-an.
Pada bulan November 1997, Alahyarham telah diserang penyakit angin ahmar. Pada 11 Februari 1998 tepat pukul 10 pagi , Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal dunia pada usianya 72 tahun.