Ahad, 29 Januari 2012

Isu SBPA : Tangguh bayar gaji ikut SBPA


PUTRAJAYA:
Kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah Saraan Baru Perkhidmatan
Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semula terhadap skim itu
dimuktamadkan.




Kementerian
Kewangan dalam kenyataannya, berkata, ia berikutan keputusan jemaah
Menteri pada 11 Januari lalu supaya pelaksanaan SBPA disemak semula.




Menurutnya, bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki
perbezaan gaji bagi Januari di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada
31 Januari seperti yang diumumkan sebelum ini.






“Pembayaran
gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari juga tidak dapat dilaksanakan
dan ia akan dibayar mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).




“Keputusan itu berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs),” katanya.




Menurutnya, pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat
selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh
kuat kuasa SBPA pada 1 Januari.





Sementara
itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menyambut
baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran berkenaan kerana
ia perlu diselaraskan secara menyeluruh.




“Seperti yang dinyatakan pihak kami sebelum ini, pelaksanaan SBPA tidak
boleh dilakukan tanpa mengkaji kesamarataan dari segi bayaran gaji
pegawai pelbagai gred. Ini kelak akan menimbulkan isu dan hak yang tidak
adil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.




Sehubungan
itu, beliau berkata, dalam usaha mencapai kata putus yang sepakat,
beliau menyarankan supaya lebih ramai pegawai kanan daripada Cuepacs
dilantik untuk menganggotai jawatankuasa semakan semula SBPA.




“Dengan adanya penambahan anggota kami, perkara ini mungkin boleh
dilihat secara lebih jelas dan pembabitan persatuan sekerja lain boleh
dibabitkan sekiranya ada isu berbangkit,” katanya.




Sumber : Harian Metro online,28 Januari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan